06 November 2014

:: MADU ITU PENAWAR::


♛ Madu Penuh Penawar ♛

Madu adalah salah satu penawar yang tertua di dunia. Walaupun rasanya manis, ia mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat untuk manusia.

Madu mempunyai 1001 kebaikan dan khasiat. Tidak dinafikan madu sangat baik untuk sistem badan kita. Namun, sejauh manakah kita tahu tentang khasiat madu?

Khasiat madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya diketahui umum. Hari ini madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Menurut Dr Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Secara semula jadi, madu sangat berkhasiat dan mengandungi gula seperti fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat. Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Berikut adalah beberapa kebaikan madu yang boleh kita peroleh:

➜ Melegakan sakit tekak dan batuk

Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali sebagai penawar semula jadi untuk mengurangkan sakit tekak dan batuk. Ini kerana madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu menghalang jangkitan bakteria dan mengurangkan kesakitan.

➜ Merawat luka dan cedera ringan

Sebelum penciptaan peti kecemasan atau ‘first aid’, madu sering digunakan untuk merawat luka dan kecederaan ringan.

Dengan sifat antibakteria di dalamnya, madu mampu menghalang pembentukan bakteria pada kawasan yang cedera dengan berkesan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

➜ Baik untuk sistem pencernaan badan

Masalah kembung perut dan angin sering meng­ganggu kita. Anda boleh mengambil madu kerana mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas. Selain itu, madu juga efektif untuk melegakan sakit perut dengan pengambilan dos yang tertentu.

➜ Menjadikan kulit lebih cantik

Vitamin dan mineral yang terkandung di dalam madu boleh mencantikkan, melembap dan menghaluskan kulit. Untuk wanita yang baru melahirkan anak, mereka disyorkan untuk mengambil madu bagi menganjalkan kembali tubuh supaya kelihatan lebih cantik seperti sedia kala.

➜ Kegunaan-kegunaan lain

Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, madu boleh melebatkan rambut, membunuh kutu dan menghilangkan kelemumur. Jika digunakan untuk menggosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilat­kan gigi.

Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol mampu bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat.
==========================

Kebaikan madu daripada sudut perubatan Islam

Madu memang dijadikan ubat di dalam perubatan Islam berdasarkan dalil di dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah eng­kau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia, ayat Al-Nahl 16:68.”

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Qur’an, maka Allah SWT akan menyembuhkannya daripada 77 penyakit.

“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.

“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana ia dapat memusatkan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

Seperti perubatan moden, kaedah mengambil madu perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit yang dialami. Jika dosnya kurang, ia tidak mengurangkan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.

Untuk kes-kes yang tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap di mana penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah SWT.

Terdapat satu kisah di mana Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya.


Lelaki itu hanya mengambil dalam dos yang sama sebanyak beberapa kali. Ini menyebabkan sakitnya tidak pulih kerana dos madu yang diambil tidak mampu untuk membuang kotoran sepenuhnya di dalam perut.


Selepas lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu kesakitan yang belum pulih, Rasulul­lah SAW sangat faham bahawa dos yang diambil oleh lelaki itu tidak mencukupi.



Nabi menekankan bahawa lelaki itu perlu terus menambah dos madu sehingga mencapai dos yang sesuai untuk merawat penyakit.





Dengan manfaat dan amalan perubatan dari dunia moden dan alternatif seperti perubatan Islam, madu tidak syak lagi adalah makanan yang bermanfaat untuk kesihatan kita. Inilah masanya kita mendapatkan kebaikan daripada khazanah alam ciptaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Terima Kasih

No comments:

© Arifudo al-Hadid | Template Designed By MH